BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday 28 February 2013

~ SABAR vs BUNUH DIRI & BAGAIMANA MENGATASINYA ~

Sabar : satu perasaan dan tindakan yang tidak dapat didefinasikan.
Ramai yang mudah berkata "sabar ye?" apabila orang lain ditimpa masalah, tapi apabila diri sendiri diuji dengan ujian yang amat dahsyat, masihkah lagi perkatan sabar dapat bertahan dalam diri?
Pernahkah anda mengalami stress yang melampau? Mungkin ada antara kita yang pernah terfikir untuk melakukan perkara yang bukan-bukan seperti membunuh diri dan mencederakan diri sendiri ketika menghadapi tekanan yang melampau. 
Ada juga yang gemar menjerit terpekik terlolong ketika stress menyelubungi diri. 
Syeikh al-'Arifi, seorang penulis buku Arab yang terkenal menceritakan kisah beliau tatkala beliau berkunjung ke Madinah al-Munawwarah untuk menziarahi sahabatnya Khalid. Dalam pertemuan itu, Khalid mengajak beliau untuk menziarahi sahabat mereka berdua, Dr. 'Abdullah. Dr. 'Abdullah merupakan seorang cendekiawan yang terkenal dengan akhlak yang mulia dan beliau sentiasa tersenyum.
Kisah Dr. 'Abdullah ini cukup menyayat hati. Beliau diuji dengan dugaan yang sangat kuat oleh Allah S.W.T
Suatu hari, anak lelaki sulung beliau membawa semua ahli keluarganya ke satu kenduri perkahwinan tidak jauh dari rumah mereka. Hanya Dr. 'Abdullah yang tidak ikut serta ekoran tuntutan kerjaya beliau di universiti. Siapa sangka itulah kali terakhir beliau hidup bersama mereka. Dalam perjalanan pulang, kereta yang dipandu anak sulungnya kemalangan dan mengorbankan keseluruhan ahli keluarganya, kesemua 11 orang!
Walaupun Dr. 'Abdullah selalu bersabar apabila menghadapi pelbagai ujian, tetapi beliau tetap seorang manusia biasa. Beliau tetap punya hati dan perasaan dan mata yang bisa menangis. Dia juga mempunyai jiwa yang kadangkala gembira dan kadangkala sedih.
Sungguhpun berita itu sangat merapuhkan hati, beliau tetap menyembahyangkan jenazah dan mengebumikan mereka dengan tangannya sendiri. Setelah selesai pengebumian, Dr. 'Abdullah pulang ke rumahnya yang pernah dihuni oleh anak-anak dan isteri beliau. Dengan hati yang masih terluka, beliau mula menjelajah ke segenap pelusuk rumah. Sunyi, sangat sunyi. Tidak seperti sebelumnya.

Beliau memandang mainan yang terbiar di atas lantai. Tiada lagi Khulud dan Sarah yang riang bermain dan kadang-kadang berebut permainan sampai bertelingkah kecil. Sungguh girang hati-hati suci itu!
Beliau menjenguk kamar tidur beliau dan isterinya. Matanya tertancap pada katil yang tidak dikemas kerana tiada lagi Ummu Salih, isterinya yang dicintai sepenuh hati yang setiap pagi akan mengemas katil mereka berdua tanpa bersungut.

Basikal Yassir sepi sendirian tersandar pada dinding rumah. Tiada lagi pemuda mulia itu yang setiap petang akan menunggangnya ke pekan.

Beliau masuk ke kamar anak gadis sunti beliau yang sudah merancang untuk berkahwin dengan pemuda soleh pilihannya sendiri tidak lama lagi. Pakaian pernikahannya masih elok tersusun tidak terusik apatah lagi dipakai.

Masya-Allah. Kamu menghadap-Nya di saat-saat pernikahanmu semakin hampir!
Alangkah hebatnya seorang hamba Allah redha akan ketetapan Tuhannya. Sesiapa sahaja yang melihat beliau ketika mendapat ucapan takziah daripada orang ramai akan pelik. Kerana seolah-olah yang meninggal itu bukan sesiapa baginya. Malah beliau yang sebaliknya menasihatkan tetamu yang datang dengan tazkirah ringkas beliau.
Beliau sentiasa mengulang, "Dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali. Segala yang Allah kurniakan, itu kepunyaan-Nya. Segalanya telah Allah tetapkan."
Bayangkan jika beliau tidak redha dan bersungut atas kehilangan mereka. Lama kelamaan, beliau akan mati kerana kesedihan yang melampau. Kerja tidak akan menjadi. Hidup tidak dapat diteruskan dengan sempurna.
Ayuh! kita belajar bagaimana ingin membuah sabar.
Setiap ujian yang ALLAH beri berbeza-beza tertakluk pada kemampuan hamba-Nya. Lupakah kita pada firmannya?
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo'a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." (Surah Al-Baqarah, 286)

Ujian Rasulullah S.A.W.

Kita singkap kembali sirah, baginda Nabi Muhammad s.a.w, ujian yang menimpa Baginda sangat hebat.

Bermula semasa lahir, baginda sudah kehilangan ayahnya, kemudian ibunya, datuknya, disusuli bapa saudaranya, sehinggalah isterinya yang tercinta, Siti Khadijah. Orang-orang yang baginda kasihi sudah mengadap Illahi. Ini belum lagi termasuk ujian dalam menyebarkan Islam untuk sampai kepada kita pada hari ini, bermacam-macam ujiannya. Dibaling najis, gigi baginda patah dalam satu peperangan, dipulau dan bermacam-macam lagi tekanan yang baginda hadapi.

Tapi ujian itu tidak pernah menghalang baginda supaya menjadi orang sabar.

Cuba kita renungkan kembali di zaman baginda s.a.w dahulu tiada handphone, tiada Facebook, tiada Skype dan tiada kemudahan internet seperti yang kita ada pada hari ini, tapi lihatlah kerana kecekalan, kesabaran baginda dan para sahabat, Islam sampai kepada kita hari ini.

Mungkin ada sesetengah pihak mengatakan bahawa baginda dapat menghadapi ujian-ujian tersebut kerana baginda merupakan seorang Rasul. Mengapa pula begitu? Baginda juga manusia biasa seperti kita, apa yang membezakan ialah baginda mempunyai keimanan yang benar-benar mantap.

Begitu juga dengan ujian yang baginda hadapi sesuai dengan kemampuan Baginda. Ujian yang hebat untuk manusia yang hebat! Kita bagaimana?

Bicara tentang iman
Iman itu ialah ketaqwaan kepada Allah. Jadi apabila kita ditimpa ditimpa sesuatu musibah atau ujian pintalah kepada Allah agar dikuatkan iman untuk kita hadapinya, bukan meminta dikecilkan masalah yang kita hadapi.

Kita boleh mengatasi segala ujian yang Allah berikan dengan tenang jika kita punyai pergantungan yang tinggi kepada-Nya. Oleh itu apa jua masalah yang ada, muhasabah kembali hubungan kita dengan Allah. 

Tanya diri kita : Adakah kita telah menjaga sebaik-baiknya hubungan kita dengan-Nya?

InsyaAllah jika kita jaga hubungan kita dengan Allah, Allah akan jaga hubungan kita dengan yang lain. Allah akan bantu kita dari segenap sudut yang kita tak sangka-sangka.

"Tapi kalau saya dah jaga hubungan dengan Allah sebaiknya, bagaimana pula?"

Jika begitu, kita perlu muhasabah kembali, mungkin tanpa kita sedari ada hak-hak dengan Allah kita tak tunaikan, begitu juga dengan hubungan sesama manusia.

Dan jika dah jaga semuanya, itulah dinamakan ujian sama ada kifarah dosa-dosa lepas atau peluang kita merebut pahala dan meningkatkan iman. Bukankah kita ini hanya manusia?

Jangan pernah lupa bahawa kita adalah hamba Allah s.w.t. Jadi, kita layak diuji kerana kita hanyalah hamba-Nya.

Jadilah hamba yang bersyukur

Apa jua yang ada dalam hidup, syukurilah, belajarlah jadi orang yang sentiasa bersyukur. InsyaAllah  masalah-masalah yang kecil tidak akan timbul, dan kita akan miliki sifat sabar.

Rasulullah s.a.w, walaupun dijamin syurga tapi Baginda s.a.w, tetap menunaikan solat dan ibadah malam sampai kakinya bengkak-bengkak.

Dalam satu hadis, apabila ditanya Aisyah r.a, mengapa Baginda beribadah malam sehingga kakinya bengkak sedangkan baginda sudah dijamin syurga, Baginda menjawab dengan tenang, "Aku ingin jadi hamba yang bersyukur."

Salam mujahadah membuah sabar.  :D

0 comments: