BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday 28 February 2013

~ SABAR vs BUNUH DIRI & BAGAIMANA MENGATASINYA ~

Sabar : satu perasaan dan tindakan yang tidak dapat didefinasikan.
Ramai yang mudah berkata "sabar ye?" apabila orang lain ditimpa masalah, tapi apabila diri sendiri diuji dengan ujian yang amat dahsyat, masihkah lagi perkatan sabar dapat bertahan dalam diri?
Pernahkah anda mengalami stress yang melampau? Mungkin ada antara kita yang pernah terfikir untuk melakukan perkara yang bukan-bukan seperti membunuh diri dan mencederakan diri sendiri ketika menghadapi tekanan yang melampau. 
Ada juga yang gemar menjerit terpekik terlolong ketika stress menyelubungi diri. 
Syeikh al-'Arifi, seorang penulis buku Arab yang terkenal menceritakan kisah beliau tatkala beliau berkunjung ke Madinah al-Munawwarah untuk menziarahi sahabatnya Khalid. Dalam pertemuan itu, Khalid mengajak beliau untuk menziarahi sahabat mereka berdua, Dr. 'Abdullah. Dr. 'Abdullah merupakan seorang cendekiawan yang terkenal dengan akhlak yang mulia dan beliau sentiasa tersenyum.
Kisah Dr. 'Abdullah ini cukup menyayat hati. Beliau diuji dengan dugaan yang sangat kuat oleh Allah S.W.T
Suatu hari, anak lelaki sulung beliau membawa semua ahli keluarganya ke satu kenduri perkahwinan tidak jauh dari rumah mereka. Hanya Dr. 'Abdullah yang tidak ikut serta ekoran tuntutan kerjaya beliau di universiti. Siapa sangka itulah kali terakhir beliau hidup bersama mereka. Dalam perjalanan pulang, kereta yang dipandu anak sulungnya kemalangan dan mengorbankan keseluruhan ahli keluarganya, kesemua 11 orang!
Walaupun Dr. 'Abdullah selalu bersabar apabila menghadapi pelbagai ujian, tetapi beliau tetap seorang manusia biasa. Beliau tetap punya hati dan perasaan dan mata yang bisa menangis. Dia juga mempunyai jiwa yang kadangkala gembira dan kadangkala sedih.
Sungguhpun berita itu sangat merapuhkan hati, beliau tetap menyembahyangkan jenazah dan mengebumikan mereka dengan tangannya sendiri. Setelah selesai pengebumian, Dr. 'Abdullah pulang ke rumahnya yang pernah dihuni oleh anak-anak dan isteri beliau. Dengan hati yang masih terluka, beliau mula menjelajah ke segenap pelusuk rumah. Sunyi, sangat sunyi. Tidak seperti sebelumnya.

Beliau memandang mainan yang terbiar di atas lantai. Tiada lagi Khulud dan Sarah yang riang bermain dan kadang-kadang berebut permainan sampai bertelingkah kecil. Sungguh girang hati-hati suci itu!
Beliau menjenguk kamar tidur beliau dan isterinya. Matanya tertancap pada katil yang tidak dikemas kerana tiada lagi Ummu Salih, isterinya yang dicintai sepenuh hati yang setiap pagi akan mengemas katil mereka berdua tanpa bersungut.

Basikal Yassir sepi sendirian tersandar pada dinding rumah. Tiada lagi pemuda mulia itu yang setiap petang akan menunggangnya ke pekan.

Beliau masuk ke kamar anak gadis sunti beliau yang sudah merancang untuk berkahwin dengan pemuda soleh pilihannya sendiri tidak lama lagi. Pakaian pernikahannya masih elok tersusun tidak terusik apatah lagi dipakai.

Masya-Allah. Kamu menghadap-Nya di saat-saat pernikahanmu semakin hampir!
Alangkah hebatnya seorang hamba Allah redha akan ketetapan Tuhannya. Sesiapa sahaja yang melihat beliau ketika mendapat ucapan takziah daripada orang ramai akan pelik. Kerana seolah-olah yang meninggal itu bukan sesiapa baginya. Malah beliau yang sebaliknya menasihatkan tetamu yang datang dengan tazkirah ringkas beliau.
Beliau sentiasa mengulang, "Dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali. Segala yang Allah kurniakan, itu kepunyaan-Nya. Segalanya telah Allah tetapkan."
Bayangkan jika beliau tidak redha dan bersungut atas kehilangan mereka. Lama kelamaan, beliau akan mati kerana kesedihan yang melampau. Kerja tidak akan menjadi. Hidup tidak dapat diteruskan dengan sempurna.
Ayuh! kita belajar bagaimana ingin membuah sabar.
Setiap ujian yang ALLAH beri berbeza-beza tertakluk pada kemampuan hamba-Nya. Lupakah kita pada firmannya?
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo'a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." (Surah Al-Baqarah, 286)

Ujian Rasulullah S.A.W.

Kita singkap kembali sirah, baginda Nabi Muhammad s.a.w, ujian yang menimpa Baginda sangat hebat.

Bermula semasa lahir, baginda sudah kehilangan ayahnya, kemudian ibunya, datuknya, disusuli bapa saudaranya, sehinggalah isterinya yang tercinta, Siti Khadijah. Orang-orang yang baginda kasihi sudah mengadap Illahi. Ini belum lagi termasuk ujian dalam menyebarkan Islam untuk sampai kepada kita pada hari ini, bermacam-macam ujiannya. Dibaling najis, gigi baginda patah dalam satu peperangan, dipulau dan bermacam-macam lagi tekanan yang baginda hadapi.

Tapi ujian itu tidak pernah menghalang baginda supaya menjadi orang sabar.

Cuba kita renungkan kembali di zaman baginda s.a.w dahulu tiada handphone, tiada Facebook, tiada Skype dan tiada kemudahan internet seperti yang kita ada pada hari ini, tapi lihatlah kerana kecekalan, kesabaran baginda dan para sahabat, Islam sampai kepada kita hari ini.

Mungkin ada sesetengah pihak mengatakan bahawa baginda dapat menghadapi ujian-ujian tersebut kerana baginda merupakan seorang Rasul. Mengapa pula begitu? Baginda juga manusia biasa seperti kita, apa yang membezakan ialah baginda mempunyai keimanan yang benar-benar mantap.

Begitu juga dengan ujian yang baginda hadapi sesuai dengan kemampuan Baginda. Ujian yang hebat untuk manusia yang hebat! Kita bagaimana?

Bicara tentang iman
Iman itu ialah ketaqwaan kepada Allah. Jadi apabila kita ditimpa ditimpa sesuatu musibah atau ujian pintalah kepada Allah agar dikuatkan iman untuk kita hadapinya, bukan meminta dikecilkan masalah yang kita hadapi.

Kita boleh mengatasi segala ujian yang Allah berikan dengan tenang jika kita punyai pergantungan yang tinggi kepada-Nya. Oleh itu apa jua masalah yang ada, muhasabah kembali hubungan kita dengan Allah. 

Tanya diri kita : Adakah kita telah menjaga sebaik-baiknya hubungan kita dengan-Nya?

InsyaAllah jika kita jaga hubungan kita dengan Allah, Allah akan jaga hubungan kita dengan yang lain. Allah akan bantu kita dari segenap sudut yang kita tak sangka-sangka.

"Tapi kalau saya dah jaga hubungan dengan Allah sebaiknya, bagaimana pula?"

Jika begitu, kita perlu muhasabah kembali, mungkin tanpa kita sedari ada hak-hak dengan Allah kita tak tunaikan, begitu juga dengan hubungan sesama manusia.

Dan jika dah jaga semuanya, itulah dinamakan ujian sama ada kifarah dosa-dosa lepas atau peluang kita merebut pahala dan meningkatkan iman. Bukankah kita ini hanya manusia?

Jangan pernah lupa bahawa kita adalah hamba Allah s.w.t. Jadi, kita layak diuji kerana kita hanyalah hamba-Nya.

Jadilah hamba yang bersyukur

Apa jua yang ada dalam hidup, syukurilah, belajarlah jadi orang yang sentiasa bersyukur. InsyaAllah  masalah-masalah yang kecil tidak akan timbul, dan kita akan miliki sifat sabar.

Rasulullah s.a.w, walaupun dijamin syurga tapi Baginda s.a.w, tetap menunaikan solat dan ibadah malam sampai kakinya bengkak-bengkak.

Dalam satu hadis, apabila ditanya Aisyah r.a, mengapa Baginda beribadah malam sehingga kakinya bengkak sedangkan baginda sudah dijamin syurga, Baginda menjawab dengan tenang, "Aku ingin jadi hamba yang bersyukur."

Salam mujahadah membuah sabar.  :D

Tuesday 26 February 2013

BeLaJaR : bAgAiMAnA mEnDaPaT kEbErKaTaN???


assalamualaikum
ary ni nk share some tips
tuk dptkan keberkatan belajar~ :D

Mungkin jarang antara kita yang tidak tahu tips-tips belajar daripada 'salafus soleh' terdahulu. Semua tahu bukan, apa itu berkat?

Sesuatu yang tidak boleh dilihat, tetapi dengan berkat itu, kita boleh berasa tenang dan bahagia sentiasa walaupun separuh dunia berada di bahu kita.

TIPS BELAJAR
1) Sebelum belajar, niat bahawa aku belajar ini kerana Allah S.W.T.
Setiap kali mahu keluar bilik untuk pergi kuliah, sentiasa ingatkan diri, aku menuntut ilmu ni kerana Allah S.W.T. Banyak kelebihan bagi orang yang menuntut ilmu.

Jangan rasa tertekan jika kelas bermula seawal jam lapan pagi dan habisnya pula dalam pukul lima petang. Tetapi fikir bahawa sepanjang proses menuntut ilmu ini, Malaikat akan sentiasa mendoakan kita. Jadi, kita tidak akan rasa terlalu tertekan jika kelas itu tersangatlah lama.

2) Disiplinkan diri.
Setiap kali mahu study, mesti baca satu muka surat al-Quran sebelum bermula waktu study itu. Jadi, pasti kita tidak tinggalkan al-Quran walau sesibuk mana pun kita. Ustazah ada cerita satu kisah yang sangat memberi inspirasi.

Ada seorang budak perempuan di Arab Saudi yang mayatnya tidak hancur, walaupun sudah lebih dua tahun dia meninggal dunia. Ramai yang pelik kerana budak itu masih kecil, dalam umur 15 tahun. Jadi, ada yang pergi pada kedua ibu bapa budak itu dan bertanya, apakah amalan budak perempuan ini.

Ibunya menjawab, saya tidak tahu apa yang istimewa anak saya lakukan, cuma saya tahu dia sangat menjaga al-Quran. Setiap kali sebelum belajar, dia pasti akan baca satu muka surat ayat-ayat al-Quran, memang tidak pernah tinggal. Jadi, budak sekecil ini pun boleh baca satu muka surat setiap kali sebelum belajar, kita yang besar panjang ini mustahil tidak mampu bukan? Orang yang hebat tidak akan memberi alasan, tetapi dia sentiasa cari jalan.

3) Kembalikan caj-caj positif dalam diri supaya tiada ruang untuk Syaitan menghalang kita menuntut ilmu.

Apaila kita rasa tertekan kerana berkali-kali sudah membaca topik tersebut, tetapi tetap tidak faham, dan akhirnya, kita rasaputus asa dan terus tutup buku. Dan yang lebih bahaya, mind setting akan mengatakan topik ini sangat susah dan tidak menarik. Akhirnya, kita tinggalkan terus topik itu hingga akhirnya kelam kabut waktu menjelang peperiksaan.

Jadi, apa kata kita cuba tips daripada 'salafus soleh' terdahulu. Apabila ada sesuatu yang menghalang fokus, mereka pergi perbaharui wudhuk dan solat sunat dua rakaat.Jika kita seperti ini, sekurang-kurangnya dapat perbaharui wudhuk sudah memadai.

4) Utamakan seruan Allah S.W.T.
Part paling penting! Apabila sedang khusyuk study, tiba-tiba azan berkumandang. Berhentilah sebentar untuk menyahut seruan Allah S.W.T. Tidak lama pun solat ini. Jadikan ia sebagai terapi diri selepas penat belajar. Imam Ghazali ada mengatakan bahawa:

"Orang yang menyahut seruan azan dengan serta merta meninggalkan segala urusan untuk menunaikan solat berjema'ah, di akhirat kelak, dia akan dijemput oleh Allah S.W.T dengan penuh lemah-lembut dan menjadi tetamu-Nya."

Jadi, setiap kali rasa berat punggung mahu berhenti study untuk solat, ingat kembal, jika aku mahu dijemput oleh Allah S.W.T di Akhirat kelak, aku perlu utamakan solat dahulu daripada kerja lain. Mana kita tahu bukan, kita lagi rasa mudahapabila belajar selepas selesai solat itu. Inilah namanya berkat. Apabila kita utamakan Allah S.W.T daripada benda lain.

5) Jangan lupa membaca doa dan ambillah wudhuk sebelum mula belajar.
Doa mohon Allah S.W.T memberi kekuatan dalam menuntut ilmu. Apabila kita ada wudhuk ini, kita akan sentiasa ingat bahawa belajar ini adalah satu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam dan memudahkan lagi untuk kita terus solat jika sedang belajar, tiba-tiba azan. Kita tidak tahu dengan wudhuk itu, kita belajar lebih berkat.
.............................................................
Kesimpulannya, selamat beramal. Cubalah praktis tips belajar ini, matlamat kita bukanlah cemerlang dalam belajar semata, tetapi kita juga mahu keberkatan daripada Allah S.W.T. 

Ihfazillah yahfazka, ihfazillah tajidhu tijaahak (Jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu).

Jadilah seperti Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang hidupnya seimbang dunia akhirat, walaupun sibuk di medan perang dan sibuk mentadbir negara. Mereka lagi sibuk daripada kita, tetapi masih ada waktu untuk bangun tahajjud dan membaca al-Quran.

Buat pemburu dunia, jangan pula kita memberi alasan, mereka tidak sama macam kita, Iman mereka mantap kerana Rasulullah S.A.W ada di sisi. Kita tidak sehebat mereka. Andai itulah pemikiran kita, percayalah, selamanya kita akan menunduk ke bawah tanpa mendongak langit yang cerah di atas.

~setel suda~
so pe nak tunggu lg?
trylaa amalkan
dgan penuh yakin
insyaallah :D

Sunday 24 February 2013

AuRaTmU, aIb Yg WaJiB dItUtUpi ;D

assalamualaikum..
dpt gk curi2 tulis kt blog ni
tuk tmbahkanlah lg perkongsian ilmu
Alhamdulillah
nah..ni lg satu artikel pasal aurat plak~
lepas ni bolehla perbaiki lg 
penutupan aurat kte
:D

Bismillahirrahmanirrahim..

Kewajipan menutup aurat bagi lelaki dan wanita telah disepakati kewajipannya oleh para ulama.

Namun, setakat  mana yang dinamakan 'aurat', terbuka kepada banyak tafsiran, maka ulama'  berselisih pendapat mengenainya.

Perkara yang diperselisihkan ini selagi bersama hujah yang benar daripada tafsiran al-Quran dan al-sunnah sebagaimana manhaj golongan awal, kesemua mereka dalam daerah pahala dan perlu kita hormati.

Mari kita telusuri tentang dalil kewajipan menutup aurat bagi wanita.
Dalil 1: Wajib Bertudung (Khimar) atau Menutupkan Kain Meliputi Kawasan Dada
Firman Allah SWT :              
"Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba-hamba yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung." (Surah al-Nur : 31)

Dalil 2: Tutuplah Kecuali Muka dan Tapak Tangan

Hendaklah pakaiannya itu menutup seluruh tubuhnya sehingga tidak terlihat oleh orang lain kecuali wajah dan tapak tangan, sebagaimana pentafsiran Ibnu Abbas yang diiktiraf oleh Rasulullah SAW sebagai pakar tafsir, merujuk firman Allah SWT,

Ertinya : "Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya." (Surah al-Nur : 31).

Al-Qurthubi dalam mentafsirkan ayat di atas mengatakan bahawa 'yang biasa nampak daripadanya' adalah wajah dan kedua-dua tapak tangan sebagaimana kebiasaan rutin mahupun ibadah seperti solat dan haji. Walau bagaimanapun apabila dikhuatirkan terjadi fitnah kerana wajah wanita yang terlalu cantik maka lebih baik untuknya mengenakan purdah.

Dalil 3: Wajib Memakai Baju Longgar (Jilbab) yang Menutupi Seluruh Tubuh

Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang beriman, hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal supaya mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Ahzab: 59).

Berkenaan isu yang mengatakan seorang wanita tidak boleh memakai pakaian sambung (iaitu ada atas dan ada bawah seperti baju kurung) dan mereka hanya diharuskan memakai pakaian terusan (seperti jubah), sebenarnya tiada dalil yang mengatakan sedemikian selagi mana kedua-dua pakaian tersebut memenuhi syarat-syarat yang sudah ditentukan syariat terhadap pakaian 'takwa' seorang muslimah. Terpulang kepada mereka menentukan fesyen selagi mana kod fesyen itu masih mengikuti syarat-syarat syariah.

Dalil 4: Kisah Asma' Binti Abu Bakr Dilarang Memakai Pakaian Tipis

Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Aisyah r.ha. bahawa Asma' binti Abu Bakr pernah mendatangi rumah Nabi SAW (baginda merupakan adik ipar Asma') dengan mengenakan pakaian tipis yang menampakkan tubuhna.Lalu Nabi SAW berpaling daripadanya dan berkata,
"Wahai Asma', sesungguhnya seorang wanita yang telah haid tidak dibolehkan menampakkan bahagian daripada (tubuh)nya kecuali ini dan ini."
Baginda SAW memberikan isyarat kepada wajah dan kedua telapak tangan. Hadis di atas banyak dikuatkan oleh pelbagai hadis sahih lainnya.
Rasulullah SAW telah mengenali Asma' r.ha sebagai wanita baik tetapi baginda tetap memerintahkannya mengenakan pakaian menutup aurat di hadapan bukan mahram (lelaki yang tidak halal baginya) kerana ia perintah Allah yang tetap dan tidak berubah kecuali dalam keadaan darurat. Begitu juga tentang isteri Usamah bin Zaid.

Dalil 5: Larangan Memakai Pakaian Berbayang atau Nipis

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad bahawa Nabi SAW menghadiahkan Usamah bin Zaid sehelai pakaian (yang berasal) dari Mesir. Lalu Usamah memberikannya kepada isterinya dan Nabi SAW berkata kepadanya,
 "Perintahkan isterimu untuk mengenakan pakaian dalam pada bahagian bawahnya. Sesungguhnya aku mengkhuatirkan nampak bentuk-bentuk tulangnya."
Pakaian yang dimaksudkan Nabi hendaklah tidak mengundang fitnah, seperti tidak tipis sehingga menampakkan bayangan tubuhnya atau tidak pula ketat sehingga membentuk lekuk, alur dan lurah pada bahagian tubuhnya.
~the end~
so..lepas ni cuba utk perbaiki diri
tutup aurat kte dgn sempurna
kte xtau nyawa kte ble kena tarik an??
bile kte usaha wt bende bek
insyaallah Allah akan permudahkannya
:D









Tuesday 19 February 2013

~ 'CiNtA iSLaMiK' yANg TeRnOdA ~

assalamualaikum..
ary ni just nk share satu artikel
harap semua dpt input drp artikel ni
klo xbyk un sikit un jd laa
insyaallah :- )


Fathil terpaku. Sedih. Perasaaan bercampur baur melihat sahabat-sahabat seperjuangan Islam ketika di sekolah menengah, kini semakin leka dengan nikmat kesenangan dunia. Tipu daya syaitan mengatasi segala-galanya. Facebook, laman web sosial yang semakin popular, digunakan sebagai medium untuk berhubung dengan kawan-kawannya semula. Fathil sekarang sedang menunggu keputusan peperiksaan akhirnya. Dia belajar di sebuah kolej persediaan untuk ke Australia.
Pilu melihat gambar-gambar sahabatnya di Facebook yang mana dahulunya cukup terkenal sebagai akhi yang sering yang bermujahadah dan istiqamah dalam dakwah, kini hanyut dengan arus cinta manusia. Gambar-gambar bersama teman wanita menghiasi 'profile pictures' sahabat-sahabatnya. Tidak kurang juga bagi akhwat, yang dahulunya sangat dihormati kerana menjaga batas pergaulan, tunduk apabila berbicara membuktikan kukuhnya iman, kini alpa dengan arus pemodenan.

Hijab yang dahulunya menjadi duri bagi setiap kumbang yang ingin hinggap pada mawar tersebut, kini sudah tiada lagi. Tudung singkat dan baju ketat menjadi pilihan, menampakkan bentuk tubuh badan yang telah diamanahkan Allah untuk dijaga sebaik mungkin daripada pandangan bukan muhrim.

Bukan semua sahabatnya, hanya segelintir. Kalimah istighfar membasahi bibir Fathil, kelopak mata yang sarat dengan takungan air, melimpah jua.

"Ya Allah, berikanlah hidayah kepada sahabat-sahabat seperjuanganku, janganlah Kau biarkan mereka hanyut dan jauh daripada jalan-Mu yang lurus, sepertiku dulu...."

Fathil tidak mampu membuat apa-apa, kerana apabila dinasihat melalui laman web sosial tersebut, mereka lebih pandai berhujah, malah cuba membenarkan apa sahaja perlakuan mereka. Syaitan dan hawa nafsu menguasai diri mereka. Mereka mempersendakan hukum Allah, tidak takut akan balasan Allah.

"Kenapa mereka berubah sedemikian rupa, Ya Allah" monolognya sendirian.

Fathil mencapai dan membelek-membelek tafsir Al-Quran di hadapannya. Cantik, biru warna kulitnya, dihadiahi seseorang yang pernah mengisi kekosongan hidupnya, suatu ketika dahulu.
"Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya)." (Al-An'aam 6:70)


"Awak, saya harap awak dapat terima buku Hadith Pilihan ni, Insyaallah dapat membimbing kita bersama-sama,"ungkap Fathil sambil menghulurkan sebuah buku berkulit tebal; himpunan hadith-hadith sahih, kepada Asiah.


Asiah juga menghulurkan sebuah tafsir Al-Quran kepada Fathil. Fathil menyukainya memandangkan warna kulit buku tersebut berwarna biru, warna kegemarannya. Pertemuan buat kali terakhir itu dirancang di hadapan masjid berdekatan sebelum mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang masing-masing. Asiah mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di Syria, manakala Fathil mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di Australia. Sebelum itu, Fathil perlu membuat persediaan di sebuah kolej di ibu kota selama setahun setengah di Malaysia.


Fathil dan Asiah adalah antara tulang belakang dalam badan Agama sekolah. Tetapi, sudah menjadi lumrah untuk manusia mempunyai perasaan terhadap berlainan jantina. Mereka menyukai antara satu sama lain. Cinta yang kononnya kerana Allah, iaitu tipu daya syaitan, menghalalkan segalanya.

Pada suatu hari, Fathil meluahnya perasaannya, menggagahkan dirinya mengambil telefon bimbitnya dan menaip,


"Assalamualaikum. Asiah, sebenarnya saya berniat untuk menjadikan awak sebagai kekasih hati saya, wanita yang menyinari hidup saya, bersama-sama membantu saya dalam menegakkan dakwah Islam. Saya memerlukan seseorang yang mendokong saya supaya saya dapat menggalas tanggungjawab menjadi da'ie dengan sebaik mungkin, sepertimana mulianya kasih sayang dan pengorbanan yang dilakukan Khadijah terhadap Rasulullah. Saya cintakan awak, ikhlas kerana Allah, saya sebenarnya berniat menjadikan awak sebagai isteri, tapi kekangan masa mengatasi segalanya, kerana banyak tanggungjawab perlu digalas, saya berharap buat masa ini, awak dapat menerima saya sebagai teman lelaki awak. Insyaallah, jika kita bercinta kerana Allah, Allah akan sentiasa membantu kita supaya kita tidak dikawal oleh hawa nafsu."



Panjang mesejnya, menanti dengan penuh debaran samada Asiah menerimanya atau tidak. Dipendekkan cerita, responnya positif. Bermulalah sebuah episod cinta yang kononnya berlandaskan Islam, atau "couple in islamic". Indah, kerana mereka saling memperingati antara satu sama lain, berkongsi ayat-ayat Al-Quran dan banyak lagi. Namun, sebagai manusia dan hamba Allah yang lemah, mereka juga tidak lari daripada zina, walaupun tidak sampai berpegangan tangan, melakukan maksiat atau berdua-duaan di tempat sunyi.
Zina yang dimaksudkan ialah zina hati, kerana mereka saling merindui antara satu sama lain. Sudah menjadi lumrah apabila pasangan akan mengingati pasangannya yang lain. Mereka tewas dengan diri sendiri, malah semakin jauh daripada mengingati Allah. Fathil yang dahulunya menghiasi hari-hari dengan membaca Al-Quran dan berzikir mengingati Allah, sudah berubah. Dia lebih banyak mengingati Asiah daripada Allah, penciptanya. Begitu juga Asiah.

"Assalamualaikum, awak tinggal di bilik AE-25 ke?" sapa seorang lelaki dari belakang, bertubuh agak tinggi dan tegap, suci mukanya.
"Ya," jawab Fathil, ringkas. Kini, dia berada di hadapan bilik AE-25, asrama tempat tinggal kolej persediaannya.
"Owh, jadi bilik kita sama," senyum lebar lelaki tersebut.

Umar namanya. Wataknya yang periang membuatkan Fathil berasa selesa dengannya, malah mereka berdua mempunyai nawaitu yang sama, iaitu menjadi syabab (pemuda) yang menjadikan Islam sebagai rutin hidup, yang seimbang antara dunia dan akhirat, serta bersama-sama dalam jalan dakwah berkongsi ilmu mengenai Islam terhadap pemuda-pemuda yang lain. Rutin harian mereka mudah diikuti. Mereka bersolat jemaah pada setiap waktu di surau, mengamalkan al-mathurat selepas subuh, membasahkan lidah dengan berzikir dan berselawat, bersugi sebelum berwuduk, menunaikan solat sunat dhuha, menunaikan solat tahajud di kala sahabat yang lain enak tidur, usrah bersama rakan-rakan, mengamalkan surah Al-mulk sebelum tidur, dan pelbagai lagi amalan yang dilakukan, semata-mata mencari keredhaan Allah.
Mereka berdua menunjukkan teladan yang baik sebagai medium dakwah. Alhamdulillah, mereka berdua menjadi sahabat karib yang mana mereka bersahabat kerana Allah, bertemu dan berpisah jua kerana-Nya.
Sudah 4 bulan mereka belajar di situ. Umar menyedari perbuatan Fathil sejak sekian lama, pada setiap pagi selepas subuh dan juga sebelum tidur. Fathil pasti akan menggunakan telefon bimbitnya, bermesej sambil senyum sendirian. Selama ini, Umar sentiasa husnul zon (bersangka baik). Namun, pada hari ini dia bertekad untuk bertanya Fathil. Umar memulakan perbualan sebelum tidur.

"Baiknya, nta selalu mesej ibu bapa nta."
"Eh, mana ada, ana tak mesej diorang pun, ana mesej kawan," jawab Fathil.
"Owh, kawan, lelaki ke perempuan?" soal Umar.
"Hmmmm," Fathil terhenti seketika. Dia dapat mengagak bahawa Umar mengesyaki sesuatu.
"Tak, nta tak paham, ana bercinta kerana Allah, ana dah berjanji yang akan bernikah setelah abis belajar," jawab Fathil, sayu.
"Wahai akhiku, tiada perkara yang menghalalkan cara, walaupun niat nta baik, tapi nta tersalah method. Sebagai contoh, seorang ustaz ingin mengajarkan agama terhadap seseorang perempuan, tetapi mereka berdua-duaan di hadapan khalayak. Walaupun niat ustaz tersebut baik, tetapi methodnya salah. Maka akan timbulnya fitnah daripada orang yang melihatnya. Bagi situasi nta plak, walaupun nta mempunyai niat yang baik, untuk menjadikan dia sebagai isteri yang sah, method nta kurang tepat. Nta tetap berpeluang untuk terjerumus dalam zina, iaitu zina hati. Usah menipu diri sendiri dengan mengatakan yang nta tidak sesekali rindu akan dia. Jika nta betul-betul sayangkan dia kerana Allah, nta tidak akan membiarkan dia menghampiri zina, kerana sudah semestinya dia juga akan merindui nta. Jika nta mencintai dia, kenapa nta hendak kotorkan hati sucinya daripada lalai mengingati Allah, tetapi mengingati nta? Jangan biarkan hawa nafsu menguasai kita, ana sayangkan nta sebagai sahabat dunia akhirat, ana takkan biarkan nta hanyut dengan cinta remaja, lagipun adakah nta dapat menjamin bahawa nta cintanya kerana Allah, atau kerana hawa nafsu?" hujah Umar, panjang lebar. Umar beristighfar supaya dirinya tidak dikuasai emosi, sebaliknya bersikap profesional dalam menasihati sahabatnya itu.
"Tapi Umar, nta jangan salah faham, ana dengan dia saling menasihati antara satu sama lain, saling mengingatkan, ana tak ada mesej jiwang-jiwang dengan dia, Subhanallah. Malah, apa bezanya kalau ana mesej dengan dia, atau mesej dengan kawan perempuan lain?"
"Beza akhiku, kerana nta mempunyai perasaan terhadap dia, dan si dia juga mempunyai perasaan terhadap nta, iaitu kasih sayang dan cinta. Berbeza dengan kawan perempuan, yang mana kita mesej apabila dirasakan perlu dan nta tidak ada perasaan terhadapnya. Tetapi, kepada si dia, nta sudah pasti rasa tidak keruan jika tidak mesej dengannya, walaupun sehari, bukan? Sedarlah wahai sahabatku."
Fathil diam. Terpaku. Tidak mampu berkata apa-apa, hanya mampu beristighfar, memikirkan kata-kata sahabatnya. Hari-hari malam yang dilaluinya, begitu perit, kerana Umar sentiasa menasihatinya, istiqamah. Umar tidak pernah berputus asa membimbing sahabatnya itu. Fathil teringat akan firman Allah,

"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?"(Al-Baqarah 2:44)



"Ya Allah, apa yang telah aku lakukan, aku menggalakkan sahabat-sahabatku supaya bertaqwa kepada Allah, tetapi aku lupa akan kejahilan diriku ini,"tersentuh hati Fathil.

Fathil juga semakin sedar. Dia semakin banyak menghabiskan masa membaca Al-Quran.
Method dakwah Umar memang berkesan. Alhamdulillah. Umar sentiasa berdoa supaya sahabatnya sedar. Fathil sedar bahawa selama ini dia bercinta didorongkan hawa nafsu, bukan kerana Allah. Jika dia bercinta kerana Allah, dia tidak akan mengotorinya dengan hawa nafsu dengan mendekati perempuan tersebut. Fathil bertaubat, memohon seribu kemaafan daripada Allah. Suatu hari, dia bertekad, dan meminta pendapat Umar, adakah dia patut minta putus dengan Asiah. Umar tenang, sambil berkata,

Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Al-Baqarah 2:216)

Fathil bertekad, mengambil telefon bimbit di belakang bantalnya, dan menaip mesej,

"Assalamualaikum awak. Saya ingin mintak maaf, ikhlas dari lubuk hati, mungkin keputusan saya ini akan membuatkan awak terkejut, dan menangis. Tetapi percayalah, saya melakukan ini semata-mata kerana Allah. Cinta kepada Allah sangatlah agung, tetapi sukar untuk kita miliki. Selama ni, cara kita salah, tiada ungkapan cinta islamik dalam cinta remaja, sebaliknya cinta yang sebenar ialah selepas akad nikah. Walaupun kita selalu berhubung dan saling menasihati mengenai benda-benda kebaikan, perkara ini tak menghalalkan cara. Saya tiada niat untuk melukakan hati awak, sebaliknya jika awak benar-benar menyayangi saya, kerana Allah, kita akhiri hubungan kita setakat ini sahaja. Ingatlah, kita hanya merancang, tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang, jika kita benar-benar dijodohkan, Alhamdulillah, jika tidak, terimalah ketentuan Allah, dengan redha dan ikhlas. Kita hidup mengharapkan keredhaan-Nya. Saya harap kita akan dapat kekal sebagai kawan sahaja setakat ini."

Mesej dihantar. Air mata Fathil mencurah-curah. Tidak tertahan olehnya pengorbanan yang telah dilakukan. Umar berada di sisi, memberi kata-kata semangat, 

"Luahkan segalanya wahai akhiku, ingat, nta bermujahadah kerana Allah, Allah akan sentiasa bersama nta."

Bunyi deringan lagu 'Menanti di barzakh', alarm telefon bimbit Umar memecah kesunyian subuh. Mereka berdua terjaga, bersiap-siap. Fathil mencapai telefon bimbitnya; ada 5 mesej dan 2 'miscall'. Tak semena-mena, Fathil menangis. Umar dapat menjangkannya, dan hanya mampu memberikan semangat kepada Fathil. Fathil menggagahkan dirinya untuk bersolat subuh berjemaah di surau, mengikut Umar.
Seolah-olah sebahagian nyawanya hilang, dia menangis teresak-esak sepanjang perjalanan ke surau. Namun, dia percaya, mujahadah dan pengorbanan yang dilakukan ini, hanya akan dirasa sebentar sahaja keperitannya, dia percaya bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang, dan setiap perkara pasti ada hikmahnya. Mungkin dia akan dipertemukan dengan perempuan yang lebih baik, kerana jodoh sudah pasti di tangan Allah.

Perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (An-Nuur 24:26)

Masa berlalu begitu pantas. Kenangan yang lama telah dilupakan. Hidup mesti diteruskan. Alhamdulillah, Umar dan Fathil telah mendapat keputusan yang cemerlang, melayakkan diri mereka untuk melanjutkan pelajaran di Australia. Rezeki mereka juga baik kerana mereka mendapat tempat di universiti yang sama di Australia.

"Umar, nta berhajatkan sesuatu," kata Fathil setelah mereka mengambil keputusan peperiksaan.
"Apa?" jawab Umar, penuh tanda tanya.
"Ana sedar yang dahulu ana hanya dipengaruhi oleh hawa nafsu, sering lalai daripada mengingati Allah. Cinta ana dulu, bukan kerana Allah, kerana ana sekarang sudah dapat mengawal perasaan ana terhadap Asiah, malah ana bersyukur kerana ana sudah tidak mempunyai perasaan terhadapnya. Kami lebih gembira sebagai kawan sekarang. Ana bersyukur kerana ana masih lagi diberikan hidayah oleh Allah, untuk sedar akan kesilapan ana yang lalu. Namun, sudah menjadi lumrah manusia, bahawa lelaki akan tertarik kepada perempuan, tetapi ana tidak mahu mengulangi kesilapan yang lalu. Ana memerlukan bimbinganmu, wahai akhi."

Umar tidak mengerti, kehairanan. Dia tidak dapat mengagak buah fikiran Fathil. Kemudian, Fathil menyambung lagi,

"Sebenarnya ana tertarik dengan keperibadian Khazinatul, nta kenal kan Khazinatul? Ana terpegun dengan personalitinya, bak mawar berduri. Dia sentiasa menjaga pandangan, hanya berbicara dengan bukan muhrim apabila perlu, dan juga menjadi idaman bagi seorang lelaki muslim. Tiada lelaki yang berani untuk mendekatinya, kerana peribadinya yang sungguh tinggi. Tetapi, ana tewas, ana susah untuk melupakannya, tambah-tambah setelah ana melakukan solat istiqarah. Alhamdulillah, ana seperti mendapat petunjuk. Ana berharap keputusan ana betul, untuk melamar Khazinatul. Ana tidak mahu lagi mengulangi perkara yang sama, iaitu bercinta sebelum kahwin. Ana ingin merasa nikmat cinta, yang mana mendapat keredhaan Allah, iaitu bercinta selepas mempunyai ikatan yang sah. Tetapi, ana memerlukan nta, sentiasalah bimbing nta, dan doakan yang terbaik untuk nta."

Umar terlopong, terkejut. Umar mengawal perasaannya, dengan tenang, dia berkata

"Insyaallah, ana akan cuba sedaya upaya ana untuk membantu nta, tapi pada pendapat ana, apa kata nta habiskan dahulu belajar, kemudian nanti apabila sudah tamat belajar, ana bantu nta untuk mendekati Khazinatul, dan melamar dia. Ok? Nta, kahwin ni bukan sesuatu yang mudah. Nta bukan sahaja perlu bersedia dari segi zahir, malah juga batin. Bagaimana nta ingin menyara isteri nta, jika nta masih belajar? Nasihatku, nta habiskan dahulu belajar, dapatkan pekerjaan tetap, lengkapkan diri dengan ilmu-ilmu Agama, selepas itu, baru nta benar2 bersedia, dan lamarlah dia."


"Hmm, lambatnya nak kenal dia, bagaimana kalau dia terlebih dahulu dilamar orang lain, terlepas nta nanti, siapa yang tak menginginkan mawar berduri seperti Khazinatul," soal Fathil.
"Insyaallah, kalau jodoh, takkan ke mana, banyakkan berdoa kepada Allah, Allah adalah sebaik-baik perancang, ingat, Allah menentukan yang terbaik untuk kita. Amboih nta ni, sabarlah la skit, haha!"

Mereka berdua tertawa. Hanya menunggu masa dengan penuh kesabaran. Tetapi, perjuangan mereka takkan terhenti setakat ini sahaja. Mereka akan sentiasa istiqamah untuk berdakwah serta memperjuangkan Islam, di bumi Australia. Islam bukan sekadar agama. Islam membimbing kita supaya bertaqwa kepada Allah, dan menyedarkan kita bahawa Allah adalah pemilik segalanya. Mereka akan meneruskan perjuangan, hingga ke generasi seterusnya. Insyaallah, bersama mawar-mawar yang akan menyinarkan lagi cahaya Islam.

Alhamduillah  :'- )
so pe kesimpulan yg bleh kte wt drp artikel ni??
tidak ada cinta yg halal sblom berkahwin
wlopon cinta itu kononnya digelar
"Couple Islamik"
khaskan cinta kte kpd yg benar2 ditakdirkan 
Allah sejak azali yg akan menjadi 
psgan idop kte hingga ke Syurga
iaitu suami atau isteri kte  
~ RENUNGKANLAH ~
:- )